|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Langkah Pertama, Langkah Utama |
E-mail
|
Oleh Gan Ah Seng
PERJALANAN
saya kini telah mencapai beribu-ribu batu jika diukur dari jumlah
kursus yang saya anjurkan. Saya berani mengatakan, andainya saya
berundur pada kali pertama saya berada di depan, pasti perjalanan saya
tidak sejauh ini.
Memang benar, tidak ada apa-apa yang terjadi tanpa langkah pertama.
Jika saya tidak bertindak mengatasi keadaan, pasti keadaan akan
mengatasi dan menguasai saya.
Bukan saya hendak membangga diri tetapi apa yang saya ceritakan adalah
untuk panduan bersama – bagaimana siapa pun di muka bumi ini mempunyai
peluang untuk mengubah keadaan hidup. Jangan biarkan suasana menguasai
anda sebaliknya, gunakan hak anda untuk mengubah kehidupan, ke arah
yang lebih baik.
Saya ada hak,
anda ada hak, semua orang ada hak dan keupayaan untuk mengubah keadaan
hidup ke arah yang lebih baik. Antara mahu dengan tidak saja. Kita
perhatikan di sekeliling kita – ramai yang tenggelam dalam kemiskinan,
kegagalan, hutang bertimbun tetapi membiarkan sahaja keadaan
menenggelamkan hidup. Mereka boleh bertindak mengubah keadaan hidup
tetapi mereka tak mahu.
Kebanyakan punca kegagalan, kemiskinan dan hutang bertimbun adalah kerana tak mahu mengubah keadaan hidup. Mereka boleh, semua orang boleh, cuma dihalang oleh rasa “tak mahu”.
Awal-awal kehidupan saya memang penuh dengan liku-liku dan cabaran. Tetapi saya berpegang teguh kepada “Setiap orang ada hak mengubah keadaan hidup; setiap orang boleh mengubah keadaan hidup, asalkan mahu.”
Saya dilahirkan di Kapar, Klang pada tahun 1952. Kelahiran saya di dunia di sambut dalam suasana kemiskinan. Sebenarnya, tidak ramai di dunia ini yang kelahirannya di sambut dengan kemewahan. Saya bersyukur, apa pun permulaan hidup saya ada hikmah yang tersembunyi.
Kemiskinan adalah pendidikan. Mendidik supaya lebih gigih, lebih kuat berusaha kerana kemiskinan memang memberi kesedaran jika menganggap kemiskinan sebagai pendidikan. Sebaliknya, jika kemiskinan dianggap sebagai takdir, memang selama-lamanya akan menyerah kepada kemiskinan. Kemiskinan adalah motivasi, jika mahu menjadikannya sebagai motivasi untuk bergerak ke arah keselesaan hidup.
Darjah 1 sampai darjah 6, saya bersekolah Cina, di kampung saya. Kemudian saya memasuki “kelas peralihan” untuk masuk ke tingkatan 1. Dalam masa yang sama terbina sekolah menengah (SMJK) di kampung saya. Saya pun memilih sekolah yang paling dekat. Cuma ia sampai tingkatan 3 sahaja. Tingkatan 4 hingga 5, saya bersekolah di Anglo-Chinese School, Klang. Selepas tamat tingkatan 5, saya tidak berpeluang untuk ke universiti atau tingkatan 6 walaupun keputusan peperiksaan saya membolehkan saya ke tingkat pendidikan yang lebih tinggi. Ada beberapa sebab. Salah satu sebabnya ialah masalah kewangan keluarga. Saya perlu bekerja untuk membantu menyara keluarga. Jadi, tamat sahaja tingkatan 5 saya terus mencari kerja. Kerja pertama saya ialah jurujual. Menjadi jurujual sememangnya mencabar kehidupan saya. Ada ketikanya, saya tidak mempunyai walau satu sen pun dalam poket. Kerjanya menyeronokkan tetapi hasilnya kurang memuaskan. Apa yang sangat penting sekali — saya telah memperolehi banyak pengalaman dalam bidang penjualan.
Terlibat dalam jualan langsung
SEKITAR pertengahan tahun 70’an, jualan langsung berkonsepkan MLM (Multi-Level Marketing) mula bertapak di Malaysia. Seingat saya ada dua syarikat MLM sahaja pada sekitar tahun 75, 76, 77. Satu syarikat luar negara dan satu lagi dalam negara. Saya begitu terpikat dengan sistem yang diperkenalkan itu.
Dengan modal yang kecil sahaja, berbekalkan sistem, kerajinan dan kesungguhan, seseorang boleh mendapat pendapatan yang tinggi. Bahkan boleh menjadi kaya. Akan tetapi, oleh kerana sistem MLM baru lagi di Malaysia, banyak kelemahan-kelemahannya pada masa itu. Oleh kerana kehidupan saya yang di bawah paras sederhana dan menghampiri kemiskinan, saya pun menyertai syarikat Fortiss dengan harapan yang amat tinggi untuk memperolehi pendapatan sama seperti yang diberitakan.
Anda mungkin tidak pernah mendengar nama Fortiss. Walaupun usia Fortiss singkat, tapi ia dikatakan syarikat MLM tempatan yang membuka pintu hinggalah begitu banyak syarikat MLM tempatan di Malaysia sekarang ini. Dengan memasukkan kesungguhan dan kerajinan, saya telah berjaya menjadi Pengurus Kawasan dalam masa yang agak singkat.
Memulakan langkah sebagai penceramah
PERNAHKAH anda mendengar IHK? Ia adalah singkatan Institute Of Hard Knock. Ia adalah anak syarikat Fortiss. Fungsinya ialah mengendalikan “Kursus Bina Insan” khasnya untuk pengedar-pengedar Fortiss supaya berjaya dalam usaha mereka. IHK, pada sekitar hujung tahun 70’an sangat popular. Kursus, seminar yang dianjurkan oleh IHK begitu berkesan. Kerana perkembangan yang begitu pesat, IHK memerlukan lebih ramai penceramah. Seramai 26 penceramah baru diperlukan. Kesemua 26 bakal penceramah ini akan dilatih hingga menjadi penceramah. Saya adalah salah seorang yang terpilih.
Sesudah selesai menjalani latihan saya dan 5 penceramah terpilih lain pun memulakan langkah. Saban hari berceramah ke seluruh Malaysia, dari timur ke barat, utara ke selatan Malaysia. Kerana setiap orang ada impian masing-masing dan mahu mengusahakan impian itu hingga menjadi kenyataan, saya memberanikan diri keluar dari IHK dan berdikari. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya mesti mengusahakan impian saya, walau apa pun halangannya.
Impian saya untuk menyampaikan prinsip-prinsip kejayaan kepada lebih ramai orang mesti dilaksanakan. Impian saya (pada masa itu) untuk menyara hidup dengan berceramah, mendidik dan menyampaikan prinsip-prinsip kejayaan. Bukan sesuatu yang mudah tetapi boleh dilaksanakan, asalkan mahu.
Ceramah pertama saya adalah percuma. Begitu juga dengan kedua dan seterusnya. Sekali dua, ada juga saya mendapat beberapa ratus sebagai ‘token’. Tapi adakah itu semua melemahkan semangat saya, walaupun kehidupan saya pada masa itu masih terumbang-ambing?
Setengah orang mungkin kecewa, lebih baik mencari pekerjaan lain dari menjadi penceramah yang hanya dibayar beberapa ratus. Tapi bagi saya, sekali saya melangkah, tidak mungkin saya berpatah balik. Itu prinsip hidup saya. Masalah lain pula, saya mengalami konflik yang agak hebat, berlawan dengan diri sendiri. Pakai kot cantik, berdiri di depan bercakap tentang prinsip kejayaan, tetapi saya belum lagi berjaya. Adakah ini menghalang saya? Mulanya memang halangan besar, tetapi lama-kelamaan saya menyedari – tak kira apa pun penerimaan orang ramai, saya tetap dengan pendirian saya bahawa saya telah “terpilih” untuk menyampaikan prinsip-prinsip kejayaan melalui kursus saya.
Namun bagaimanapun, saya telah mencipta sejarah. Saya rasa saya orang pertama di Malaysia yang mengendalikan kursus seumpamanya dalam Bahasa Melayu. Pada masa itu, jualan langsung yang berkonsepkan MLM belum lagi berkembang pesat seperti hari ini. Hanya ada 3 syarikat MLM yang menonjol. Jadi, tumpuan saya ialah mengendalikan kursus bina insan di syarikat-syarikat insurans. Setiap hari saya lalui dengan penuh kesabaran walaupun saya menghadapi kesusahan dari segi kewangan. Saya mesti berusaha mengatasi masalah kewangan bukan menumpukan kepada masalah kewangan itu sendiri. Mencari penyelesaian, bukan mengeluh. Lama-kelamaan, berkat kesabaran, kesungguhan dan kerajinan yang saya masukkan di dalam usaha saya, nama Gan Ah Seng makin dikenali. Itulah sebenarnya harta besar untuk saya. Kita cuma ada satu nama sahaja, maka kita wajib menjaga nama baik kita kerana seumur hidup kita memakai nama itu. Ingatlah, nama yang baik memang agak sukar untuk dibina tetapi nama yang buruk cepat sangat tersebar. Mementingkan kualiti adalah salah satu cara untuk menjaga nama. Kejujuran juga amat penting dalam kehidupan kita.
Nama kita menjadi tercemar jika tidak jujur. Lebih dari itu, dalam karier saya sebagai penceramah, impak atau kesan dari kursus saya memainkan peranan yang sangat besar dalam membina nama. Apa kesan yang peserta perolehi dengan mengikuti kursus saya, itulah yang diutamakan. Jika tiada kesan atau impak, nama saya akan tercemar sekaligus akan memusnahkan karier saya. Kejayaan peserta kursus lebih utama berbanding dengan kejayaan saya.
Terima jemputan berceramah
Kemudian, saya menerima jemputan berceramah di luar Malaysia. Mula-mula di Singapura. Setelah makin kerap ke Singapura, pada suatu hari saya mendapat satu lagi “breaktrough” bila saya dijemput berceramah di Hong Kong dalam bahasa Kantonis.
Selepas itu jemputan ke Indonesia pula sedangkan saya tidak tahu berbahasa Indonesia. Bersama rakan karib saya, K.G. Lim, saya ke Indonesia dengan persepsi – saya mesti memikirkan tentang kandungan kursus, bukan masalah bahasa.Selepas itu adalah sejarah dalam kehidupan saya. Sering saya sebut dalam kursus saya – ambillah peluang yang datang ke depan anda. Jika peluang itu tidak sampai ke depan mata anda, carilah peluang itu. Bila telah menemui, laksanakan segera, jangan biarkan alasan-alasan menghalang dari melaksanakan peluang itu. Jangan hidup dipenuhi dengan alasan sebaliknya penuhi dengan tindakan. Satu lagi cabaran yang besar datang – diundang mengendalikan kursus bina insan di New York dan kemudian di India. Jadi, dari tahun 70’an hinggalah membawa ke alaf baru dan diharap sehingga saya sudah tak terdaya lagi, saya tak pernah jemu dan bosan menyampaikan prinsip-prinsip kejayaan. Bila kita melakukan apa yang kita minati, kita tak akan jemu sebaliknya makin bersemangat.
Saban hari dalam hidup sentiasa menemui cabaran baru yang menyeronokkan. Jika anda bertanya tentang pencapaian saya, ini jawapan mudah dari saya, “Pencapaian saya tidak utama, keutamaan saya ialah pencapaian peserta kursus bina insan.”
Bagi saya, kejayaan sebenar ialah apabila peserta kursus melaksanakan prinsip-prinsip kejayaan yang saya sampaikan dan memperolehi kejayaan di dalam bidang mereka. Itu keutamaan saya.
Gan Ah Seng merupakan seorang pakar motivasi yang terkenal di Asia Tenggara. Beliau banyak melatih individu dalam bidang pembangunan diri (self development).
Iklan
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|